Adab-Adab Berbuka Puasa
Apa yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang iaitu al-Quran atau al-Sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadith: Pertama: Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar . Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`d; Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: لَا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puas” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi s.a.w. baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata al-Tibi (meninggal 743H): “Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat membolehkannya menunaik...